“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, hari ini dan tempat ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang sah. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Tetapi modal asalmu adalah milik kamu yang boleh kamu simpan. Janganlah kamu menyebabkan atau menderita akibat ketidakadilan. Allah telah memutuskan tidak ada riba’ dan kesemua riba’ dari Abbas Ibn Abdul Mutalib mulai saat ini dihapuskan.
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
“Wahai manusia, memang benar kamu mempunyai hak-hak tertentu ke atas isteri-isterimu, tetapi mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Ingatlah bahawa kamu mengambil mereka sebagai isterimu hanya dengan kepercayaan Allah dan keizinan dari-Nya. Jika mereka mematuhi hak-hak kamu maka mereka berhak atas makanan dan pakaian yang diberikan dengan kebaikan. Perlakukanlah mereka dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya, mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan menjadi hak kamu untuk menentukan agar mereka tidak berkawan dengan orang yang kamu tidak sukai supaya tidak berlaku zina.
“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, seorang Arab tidak memiliki kelebihan di atas non-Arab dan seorang non-Arab tidak memiliki kelebihan di atas Arab, juga seorang putih tidak memiliki kelebihan ke atas seorang hitam, dan seorang hitam tidak memiliki kelebihan ke atas seorang putih melainkan dalam ketakwaan dan ibadahnya. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain dan umat Islam itu membentuk satu persaudaraan. Tidak boleh harta seorang muslim menjadi hak seorang muslim lain kecuali jika sudah diberikan secara suka rela dan ikhlas. Kerana itu, jangan lakukan perbuatan tidak adil pada dirimu sendiri.
“Ingatlah, bahawa suatu hari nanti kamu akan menghadap Allah untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”